PN mungkin nilai semula pendirian terhadap GRS selepas PRN, kata Kiandee

Ketua PN Sabah Ronald Kiandee berkata pembentukan kerajaan bergantung kepada komposisi kerusi dan sama ada mana-mana parti boleh capai ambang 37 kerusi untuk bentuk kerajaan sendiri.

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mungkin menilai semula semula pendiriannya terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas PRN 29 Nov ini, walaupun hubungan kedua-dua gabungan itu masih retak susulan tindakan beberapa pemimpin GRS keluar daripada Bersatu pada 2022.

Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee berkata ini selaras dengan sifat politik Sabah yang dinamik dan sering berubah mengikut keperluan pembentukan kerajaan, lapor Astro Awani.

“Kita akan menilai semula keputusan kita tidak bergabung sebelum ini. Politik Sabah dan Malaysia ini memperlihatkan banyak kemungkinan.

“Umno sebelum ini menegaskan tidak akan bekerjasama dengan PKR atau DAP, tetapi apabila sampai situasi mereka diperlukan dan mereka memerlukan gabungan, pendirian lampau pun mereka nilai semula,” katanya.

Kiandee berkata bahawa walaupun PN bertanding di 41 kerusi, pembentukan kerajaan bergantung kepada komposisi kerusi dan sama ada mana-mana parti boleh capai ambang 37 kerusi untuk bentuk kerajaan sendiri.

“Tetapi jika tidak ada parti yang mampu menguasai 37 kerusi, situasi untuk bergabung itu akan wujud. PN juga akan membuat keputusan berdasarkan keadaan selepas PRN,” katanya.

PN bergerak secara solo dalam PRN Sabah, yang menyaksikan 73 kerusi dipertandingkan. Bagaimanapun, gabungan itu berulang kali menyatakan bahawa ia tetap membuka pintu kepada kerjasama.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini menolak kerjasama politik dengan GRS, dengan alasan wujudnya pengkhianatan oleh GRS selepas beberapa pemimpinnya, ketika itu dalam Bersatu, keluar parti pada 2022.

GRS, pada awalnya sebuah gabungan tidak rasmi parti-parti Sabah termasuk Sabah Bersatu, didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022.

Beberapa pemimpin, termasuk ketua Bersatu Sabah ketika itu, Hajiji Noor, keluar daripada Bersatu pada Dis 2022 dan kemudian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah, yang menjadi komponen GRS.

Kiandee kemudian dilantik sebagai ketua Bersatu Sabah dan pengerusi PN negeri.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *