Keadaan lokasi kemalangan di KM4.4 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Stesen Minyak Petronas Sungai Emas, Machang, semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang pesara bomba antara dua maut kemalangan sebuah motosikal dan kereta di KM4.4 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Stesen Minyak Petronas Sungai Emas di Machang semalam.
Dua mangsa maut dalam nahas kira-kira 4.25 petang Ahad itu ialah Mokhtar Mohd Nor, 67, yang memandu Perodua Kelisa dan Mohamad Fahimi Mohd Daud @ Mohd Hanafi, 34, penunggang motosikal Yamaha Y15ZR.
Ketua Polis Machang, Ahmad Shafiki Hussin, berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Fahimi datang dari arah Pasir Puteh menuju Machang melalui jalan lurus.
Beliau berkata, kereta dipandu Mokhtar dipercayai keluar dari simpang sebelah kiri mahu masuk ke simpang kanan.
“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak, lalu merempuh kenderaan tersebut,” katanya menurut Sinar Harian.
Jelasnya, kedua-dua mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau meminta saksi atau individu mempunyai maklumat tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-975 1222.”
