Setiausaha Agung Upko, Nelson W Angang membalas kenyataan pemimpin MCA Sabah Dr Pamela Yong yang mendakwa Upko ‘bergerak ke mana sahaja angin bertiup paling kuat’.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Upko, Nelson W Angang mempersoalkan sama ada MCA bebas buat keputusan sendiri dalam Barisan Nasional (BN) selepas seorang pemimpin MCA dari Sabah mengkritik tindakan parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Nelson berkata adalah sangat mudah untuk mengkritik parti lain yang berani membuat keputusan tegas dan menyatakan ‘sudah cukup’ sedangkan MCA jarang sekali atau tidak pernah bersuara mengenai hak 40% hasil Sabah.
“MCA terus kekal dalam BN walaupun berulang kali mengatakan mereka tidak dilayan dengan adil. MCA juga sering merungut dipinggirkan dalam BN tetapi tetap memilih untuk kekal.
“Adakah MCA benar-benar mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam gabungan politiknya atau sekadar menurut arahan komponen lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau membalas kenyataan Ketua Wanita MCA Sabah Pamela Yong baru-baru ini yang mendakwa Upko ‘bergerak ke mana sahaja angin bertiup paling kuat’, sambil mempersoalkan sama ada tindakan terbaharu parti itu hanyalah satu ‘drama politik’.
Presiden Upko Ewon Benedick, yang letak jawatan menteri persekutuan minggu lalu, beri amaran bahawa Sabah boleh kehilangan pengaruhnya sekiranya pengundi memilih pemimpin tempatan daripada parti nasional kerana mereka menerima arahan daripada presiden parti ‘di seberang laut’.
Putrajaya sebelum ini memutuskan untuk merayu sebahagian daripada alasan penghakiman keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan hak perlembagaan Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Mengulas lanjut, Nelson berkata keputusan Upko untuk keluar daripada kerajaan persekutuan dibuat berlandaskan prinsip dan komitmen jangka panjang untuk mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Katanya keberanian Upko membuat keputusan sukar itu mencerminkan integriti parti dan keteguhan pendiriannya.
“Bagi Upko, apabila pandangan, suara dan keputusan kami tidak lagi dihormati, kami bersedia untuk meninggalkan kerajaan, walaupun masih berbaki dua tahun pentadbiran.
“Ia bukan keputusan kecil, tetapi keputusan yang dibuat kerana enggan berkompromi terhadap hak Sabah,” katanya.

https://shorturl.fm/TLlNu