Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, bersama penyokong dalam satu program parti di Tuaran, dekat Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang besar dan wajar diberi pertimbangan khas untuk tambahan kerusi parlimen, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang menyambut baik persetujuan secara dasar kerajaan persekutuan untuk menambah jumlah kerusi.
Katanya, pengumuman oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan langkah yang positif, lapor Bernama.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan secara dasarnya bersetuju menambah bilangan kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak mengambil kira jumlah pengundi di kedua-dua negeri berkenaan.
Hajiji berkata: “Ini semestinya yang ditunggu-tunggu oleh Sabah dan Sarawak untuk kita mendapatkan tambahan bilangan kerusi parlimen. Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang agak besar dan wajar diberi pertimbangan khas untuk tambah kerusi parlimen.
“Terima kasih kepada perdana menteri,” katanya dalam satu program di Tuaran.
Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi parlimen.
Hajiji berkata pertambahan kerusi parlimen diperlukan memandangkan terdapat kawasan parlimen yang mengalami peningkatan penduduk seperti di Kinabatangan di mana ia sebesar Pahang tetapi hanya ada satu kawasan parlimen.
Katanya, kawasan parlimen Tuaran juga sebesar negeri Perlis.
Bagaimanapun, Anwar berkata setakat ini tiada komitmen untuk meningkatkan jumlah kerusi parlimen sehingga satu pertiga daripada keseluruhan kerusi seperti yang dituntut pemimpin dari Sabah dan Sarawak
Hajiji dalam kenyataannya hari ini turut merujuk kepada kuota satu pertiga yang didakwanya sebagai sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). (Namun, perjanjian itu sebenarnya hanya menetapkan jumlah kerusi untuk Sabah, Sarawak dan Singapura — yang ketika itu masih dalam persekutuan — dan ketiga-tiga wilayah berkenaan secara keseluruhan memegang satu pertiga daripada jumlah kerusi Dewan Rakyat pada masa tersebut).
