Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi dinaiki mereka, manakala seorang bayi berusia 6 bulan cedera dalam kemalangan di KM54.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri maut manakala bayi berusia enam bulan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi hari ini.
Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman berkata, dalam kejadian 1.30 tengah hari di KM54.5, lelaki berusia 24 tahun yang memandu Perodua Myvi serta wanita 28 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Bayi perempuan yang duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak cedera di kepala dan sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Yusof, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori kelapa sawit tanpa muatan.
Susulan perlanggaran itu, serpihan kemalangan terkena sebuah Toyota Vios
Pemandu lori berusia 47 tahun hanya cedera ringan manakala lelaki 46 tahun yang memandu Vios tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
