Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan hadir bagi tunjuk sokongan kepada Barisan Nasional pada hari penamaan calon di Tuaran semalam.
KOTA BELUD: Tiada masalah dalaman dalam Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan menarik diri sebagai calon di kerusi DUN Tempasuk pada PRN Sabah ke-17 (PRN17), kata Pengerusi BN Zahid Hamidi.
Zahid berkata, Abdul Rahman membuat keputusan itu secara terhormat selepas perbincangan, bagi memberi peluang kepada calon muda yang diketengahkan oleh Umno Sabah.
“Beliau (Abdul Rahman) bertemu dengan saya, sebelum itu beliau menelefon saya untuk memohon penarikan diri. Dua hari lepas pun beliau bersama saya dan juga calon di Tuaran.
“Hari ini saya ke Kota Belud, semalam Abdul Rahman sendiri datang mengiringi calon (di Kota Belud) dan tidak ada sedikit pun permasalahan di dalam BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Lindung Kerjaya hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan.
Program itu turut dihadiri calon BN bagi kerusi DUN Usukan Salleh Said Keruak, calon BN bagi kerusi DUN Pintasan Tadzul Radim serta calon BN bagi kerusi DUN Tempasuk Azuwan Marjan @ Norjan.
Zahid yang juga presiden Umno berkata, keputusan itu membuktikan Abdul Rahman berjiwa besar dan sentiasa mendahulukan kepentingan parti berbanding diri sendiri.
Menurutnya, sikap ini menjadi teladan kepada pemimpin lain dalam memastikan semangat perpaduan dan kekuatan BN terus utuh di Sabah.
“Memang benar, pada peringkat awal, tawaran telah diberikan kepada Abdul Rahman, tetapi beliau menarik diri kerana merasakan peluang harus diberikan kepada anak muda. Jadi saudara Azuwan diputuskan oleh Umno Sabah untuk diketengahkan sebagai calon di Tempasuk.
“Tentunya kita ucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman yang telah memberikan peluang ini kepada Azuwan. Mudah-mudahan (beliau) memenangi kerusi Tempasuk ini,” katanya.
Di DUN Tempasuk, penyandangnya Mohd Arsad Bistari mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dicabar Azuwan; John Samud (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat); Dr Rimin Maun (Parti Kebangsaan Sabah); Timuti Majitol (Parti Impian Sabah); Mohd Khidir Lamsil (Warisan); dan Walter Mark Mukis (Parti Solidariti Tanah Airku).
