Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama kru kapal layar Maduzi akan meneruskan meneruskan pelayaran dari Pulau Pangkor ke Pulau Pinang esok. (Gambar RMS)
PETALING JAYA: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menyertai perlumbaan Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) edisi ke-35 yang bermula semalam.
Baginda bersama kru kapal layar Maduzi berjaya menamatkan perlumbaan pertama dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor sebelum meneruskan pelayaran ke Pulau Pinang pada pagi esok.
RMSIR yang berlangsung dari 14 Nov hingga 22 Nov itu menghimpunkan pelayar tempatan dan antarabangsa dalam siri perlumbaan yang mencabar, merangkumi laluan tradisi Pelabuhan Klang – Pulau Pangkor – Pulau Pinang – Pulau Langkawi.
Regatta Diraja yang masuk edisi ke-35 tahun penganjuran itu merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan dianggap paling sukar di Asia Tenggara.
Kejohanan itu adalah idea cetusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri ketika baginda bergelar Raja Muda.
Sepanjang perjalanan regatta, orang ramai khususnya komuniti pelayaran dan para peminat sukan boleh mengikuti perkembangan terkini Baginda melalui platform media sosial rasmi Friend of RMS di Instagram dan TikTok.
