Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai, berkata ibu kota sedang terbeban dengan terlalu banyak projek berketumpatan tinggi menjurus kemerosotan kualiti hidup. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: DAP Kuala Lumpur menyifatkan belum ada seorang menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar yang benar-benar memenuhi penanda aras membangunkan Kuala Lumpur walaupun jawatan itu silih berganti.
Pengerusinya Tan Kok Wai, berkata individu yang mengalas jawatan itu perlu membawa perubahan termasuk menekankan pembangunan memupuk naluri nurani, tadbir urus berkualiti, dan berkecekapan tinggi.
“Semalam, Kuala Lumpur menerima Datuk Bandar (Fadlun Mak Ujud) baharu yang mengangkat sumpah jawatan, menggantikan datuk bandar terdahulu yang hanya berkhidmat 16 bulan, bukan dua tahun seperti kebiasaan.
“Kita menyaksikan saling berganti menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar, sehingga kini masih belum ada seorang pun benar-benar memenuhi penanda aras membangunkan sebuah ibu kota cekap, berintegriti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Bangsar.
Jumaat lalu, Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai datuk bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa 15 Nov, menggantikan Maimunah Mohd Sharif yang perkhidmatannya dipendekkan setahun lebih awal.
Mengulas lanjut, Tan berkata, DAP Wilayah Persekutuan bersedia bekerjasama, menyokong dasar baik, dan memastikan datuk bandar dipertanggungjawabkan selaras semangat perkhidmatan demokratik kepada rakyat.
Katanya, Fadlun diseru mewajibkan libat urus awam terbuka dengan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi keputusan perancangan utama demi perkukuh pencegahan rasuah dan memperkenalkan penanda aras integriti yang jelas.
“Kuala Lumpur sedang terbeban dengan terlalu banyak projek berketumpatan tinggi menjurus kemerosotan kualiti hidup. Untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar bertaraf dunia, kita tidak boleh mengurus Kuala Lumpur abad ke-21 dengan mentaliti abad ke-20.
“Oleh itu, DAP menyokong moratorium projek baharu di kawasan yang infrastrukturnya sudah tepu. Jika kita tidak membawa perubahan, kita akan mewariskan sebuah kota yang tidak mampan, tidak inklusif, dan tidak berdaya tahan,” katanya.
Dalam ucapannya, Tan menegaskan DAP Wilayah Persekutuan sekali lagi menyeru kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat Bandaraya Kuala Lumpur.
“Pilihan raya PBT perlu dilaksanakan secepat mungkin sama ada sebelum atau selepas PRU ia bergantung kepada ‘road map’ yang disediakan. Proses melaksanakannya harus dirancang dari sekarang,” katanya.
