Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad sebelum ini sedang dikesan SPRM berhubung satu siasatan kes rasuah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad yang sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah, dipercayai berada di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata berikutan itu pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengesan keberadaan ahli politik berusia 44 tahun itu.
“Kita syak beliau berada di luar negara. Kerjasama dengan Imigresen akan dibuat dalam masa terdekat.
“Paling penting keberadaan beliau. SPRM menyeru beliau segera balik bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Berita Harian.
SPRM sebelum ini cuba mengesan lokasi Adam bagi membantu siasatan kes rasuah namun tidak menjelaskan secara terperinci siasatan itu.
Pada 20 Ogos lalu, Adam dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan menerima surat representasi Adam mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613).
Adam sebelum ini berdepan beberapa pertuduhan, termasuk meminta dan menerima suapan berkaitan projek kerajaan bernilai RM47.8 juta, serta menerima suapan RM4.1 juta bagi membantu dua syarikat memperoleh projek Jana Wibawa.
Dia juga dituduh meminta RM2 juta sebagai upah untuk membantu mendapatkan projek sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.
