Gugur veteran, Warisan berisiko hilang undi, kata penganalisis

(Dari kiri) Darell Leiking, Loretto Padua Jr dan Azis Jamman memiliki reputasi mantap, rangkaian tempatan yang kukuh dan pengalaman menteri, yang menjadi aset berharga bagi parti, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Keputusan Warisan menggugurkan beberapa pemimpin berprofil tinggi daripada senarai calon PRN Sabah mungkin akan membawa padah di kubu kuat tradisi parti itu, kata penganalisis politik.

Syahruddin Awang Ahmad daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, keputusan itu berisiko memandangkan Timbalan Presiden Darell Leiking, Setiausaha Agung Loretto Padua Jr dan Ketua Penerangan Azis Jamman mempunyai pengaruh besar dalam kalangan komuniti akar umbi di kawasan mereka.

“Reputasi mereka yang mantap, jaringan tempatan yang kukuh, dan pengalaman sebagai menteri adalah aset berharga. (Langkah) gugur mereka dari jejak kempen berpotensi mengelirukan ahli akar umbi,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Syahruddin berkata, langkah itu mungkin mencerminkan strategi parti untuk melindungi aset politik peringkat kebangsaannya menjelang PRU akan datang, sekali gus melindungi mereka daripada risiko kekalahan dalam landskap politik Sabah yang tidak menentu pada masa ini.

Tambahnya, ia mungkin usaha untuk memberi laluan kepada calon lebih muda, membaharui kepimpinan parti dan menyahut permintaan rakyat untuk wajah-wajah baharu.

“Jika Warisan berjaya ketengahkan calon tempatan yang kuat dan berwibawa, dan mesej terasnya diterima baik oleh pengundi, strategi itu boleh berjaya,” katanya.

Seorang lagi penganalisis UMS, Ramli Dollah memberi amaran bahawa pendekatan Warisan boleh memakan diri di kawasan-kawasan pilihan raya yang sekian lama dipegang oleh veterannya, jika pengganti mereka gagal mendapat sokongan.

“Namun, jika calon baharu dapat berhubung secara berkesan dengan pengundi dan menyampaikan mesej bahawa Warisan benar-benar membaharui kepimpinannya, ia boleh terbukti berjaya dari segi strategi.

“Parti perkenal muka baharu bukan kerana peluang veteran menang lebih rendah, tetapi kerana prestasi calon lain mungkin lebih baik dalam konteks politik semasa,” katanya.

Pada 12 Nov, Presiden Warisan Shafie Apdal mengumumkan Leiking tidak akan mempertahankan kerusi Moyog, yang sebaliknya akan ditandingi oleh Naib Presiden Terrence Siambun. Loretto dan Azis juga tidak akan bertanding pada PRN kali ini.

Leiking, bekas Ahli Parlimen Penampang, merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 2018 hingga 2020, manakala Azis timbalan menteri dalam negeri dalam tempoh yang sama, selain pernah menjadi Ahli Parlimen Sepanggar.

Warisan juga mengumumkan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis sebagai calonnya di kerusi DUN Usukan, yang akan menyaksikan pertembungan dengan calon Barisan Nasional (BN), bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak, dan Japlin Akim daripada Gabungan Rakyat Sabah.

Ramli berkata, saingan di Usukan adalah antara yang paling dinanti-nantikan pada PRN kali ini memandangkan ketiga-tiga gabungan utama menampilkan calon-calon ternama.

Katanya, walaupun peluang setiap calon bergantung pada keterlibatan pengundi dan tarikan individu, pertandingan pelbagai penjuru mungkin memberi kelebihan kepada Isnaraissah.

Menurut Syahruddin, Salleh mempunyai jentera pilihan raya yang mantap di Usukan, tetapi menambah bahawa mesej kempen Warisan yang mengutamakan suara rakyat Sabah mengukuhkan kedudukan Isnaraissah sebagai pencabar utama.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *