Penyanyi dan pelakon Abu Bakar Ellah (atau Ampal), penyanyi John Samud dan bekas pemain serta pengurus bola sepak Sabah Henry Soimpon yang bertanding dalam pilihan raya negeri itu.
KOTA KINABALU: Figura seni dan sukan antara yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 selepas tamat proses penamaan pada hari ini.
Antara yang menarik perhatian ialah penyanyi dan pelakon terkenal negeri itu, Abu Bakar Ellah atau lebih dikenali sebagai Ampal yang bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi DUN Kuamut.
Abu Bakar berdepan persaingan lapan penjuru menentang calon Upko, Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom, Ted Kelvin Sudin (Parti Impian Sabah), Masiung Banah (GRS), John Sungkiang (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Norfaizah Chua @ Giak Kiang (Warisan), Duin Daud Tarang (Bebas) dan Jevronnie Mandek (STAR).
Seorang lagi figura seni iaitu penyanyi veteran Kadazandusun, John Samud turut mewarnai PRN kali ini apabila bertanding di DUN Tempasuk mewakili KDM.
Beliau berdepan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Mohd Arsad Bistari (GRS), Rimin Maun (Parti Kebangsaan Sabah), Azuwan Marjan @ Norjan (Barisan Nasional), Timuti Majitol (Parti Impian Sabah), Mohd Khidir Lamsil (Warisan) dan Walter Mark Mukis (STAR).
Tidak ketinggalan bertanding ialah bekas pemain serta pengurus pasukan bola sepak Sabah, Henry Soimpon yang menjadi calon KDM di DUN Kiulu.
Persaingan di kawasan itu turut melibatkan Joniston Bangkuai (GRS), Dusi Gingging (Parti Kebangsaan Sabah), Trevor Kenneth Maringking (Parti Kerjasama Anak Negeri), Saibin Gunsari (Warisan), Joisin Romut (Upko), Niyky @ Niky J. Bosikol (Parti Impian Sabah) dan Terence Sinti (STAR).
Sementara itu, bekas bintang bola sepak Sabah Jekerison Kilan bertanding di DUN Nabawan, juga mewakili KDM.
Beliau menghadapi saingan sembilan penjuru menentang Junilin @ Jubilin Kilan (Upko), Laiji Ompongoh (BN), Alfian A Koroh (Warisan), Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS), Farney Akon (Parti Kebangsaan Sabah), Rejoh Ondoh (Parti Impian Sabah), Akuang Suan (STAR) dan Sayau Tangkap (Perikatan Nasional).
Turut menyertai gelanggang PRN Sabah kali ini ialah bekas penyampai berita RTM Kota Kinabalu, Francis Fahir yang bertanding di DUN Pantai Dalit mewakili STAR.
Ketua Bahagian STAR Pantai Dalit itu berdepan pertandingan tujuh penjuru menentang Mohd Zulkernain Osman (PN), Aliasgar @ Ali Ashgar Basri (Warisan), Jasnih Daya (GRS), Jaesman @ Jaess Gipin (KDM), Liam Tawil (Parti Impian Sabah) dan Alfian Sambas (BN).
