Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, kepimpinan pusat telah sepakat memastikan pertembungan di DUN Karamunting dan Kemabong pada PRN Sabah berlaku secara sihat.
KOTA KINABALU: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak menyerang calon rakan perpaduan di DUN Karamunting dan Kemabong, yang menyaksikan pertembungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Bercakap pada sidang media selepas sesi libat urus bersama media, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengakui pertembungan kerusi antara parti dalam kerajaan perpaduan pada PRN Sabah tidak dapat dielakkan.
Justeru, katanya, jentera parti diarah bergerak berasingan bagi mempromosikan calon masing-masing, tanpa menjejaskan hubungan antara rakan gabungan.
“Oleh kerana kerusi bertindih tidak dapat dielakkan, maka apa yang kita lakukan adalah jentera bergerak secara berasingan … asalkan tidak menyentuh perkara sensitif parti lain ketika berkempen,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan pusat parti telah sepakat untuk memastikan pertembungan di dua kerusi itu berlaku secara sihat.
“Di Kemabong, calon DAP bertanding; di Karamunting pula calon MCA dan calon PKR juga diletakkan. Kami tiada masalah dengan itu dan inilah bentuk persefahaman yang dipersetujui di peringkat pusat,” katanya.
DAP mencalonkan Senator Norita Sual mewakili PH di DUN Kemabong, yang menyaksikannya bertembung dua rakan kerjasama politik, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.
GRS meletakkan penyandangnya Rubin Balang manakala BN mengumumkan Rahmah Jan Sulaiman daripada Umno sebagai calonnya.
Di Karamunting, PH menampilkan penyandang dari PKR, George Hiew, manakala BN menamakan Penyelaras MCA bagi DUN Karamunting, Chin Kim Hiung, sebagai calon di kerusi itu.
Untuk rekod, pada PRN kali ini, GRS menjalin kerjasama dengan PH, yang turut berpakat dengan BN. Bagaimanapun, tiada kerjasama antara BN dan GRS.
Mengulas laporan Umno Sipitang enggan menyokong calon perpaduan di DUN Sindumin, Zahid menegaskan, perkara itu sudah selesai melalui jawatankuasa khas yang diwujudkan bagi menangani ketegangan pada peringkat akar umbi.
“Itu telah kami selesaikan. Kita ada CMT (Central Management Team) yang ditubuhkan untuk menangani kawasan yang alami masalah begitu, supaya jentera boleh dijalankan secara bersama,” katanya.
