Sukan tempur bawah pengawasan bina sahsiah kanak-kanak, kata pakar

Sukan tempur adalah tentang mempamerkan kemahiran, latihan dan kebolehan, bukan untuk mendominasi atau menyebabkan kecederaan, menurut pakar psikologi klinikal. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sukan tempur berupaya membantu dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak selain mempersiapkan mereka untuk menangani cabaran hidup, dengan syarat ia diamalkan di bawah seliaan orang dewasa yang betul, menurut pakar.

Joel Low daripada Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP) berkata, pertandingan seumpama itu boleh menjadi platform unggul bagi kanak-kanak untuk menyemai nilai-nilai murni yang menjadi cerminan kepada pengalaman hidup sebenar.

“Menang, kalah, kesungguhan, latihan dan segala aspek lain dalam sesebuah pertandingan, khususnya perlawanan seni bela diri, merupakan pengajaran yang amat mustahak untuk dipelajari kanak-kanak, kerana ia boleh menjadi contoh terbaik bagi kehidupan,” katanya kepada FMT.

Low berkata demikian susulan kecaman hebat masyarakat terhadap kejohanan sukan tempur War Zone Championship, berikutan penularan sebuah video promosi yang memaparkan adegan pertarungan melibatkan dua peserta cilik awal bulan ini.

Warganet sebelum ini menggesa agar kejohanan tersebut disiasat, sambil mempersoalkan motif pihak penganjur mempromosikan acara itu ketika kes buli sekolah dilaporkan kian berleluasa.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan pihaknya tidak memberikan sebarang kelulusan bagi penganjuran acara itu.

Pihak penganjur kemudiannya tampil memohon maaf secara terbuka serta mengumumkan pengguguran kategori Junior.

Low menekankan bahawa panduan orang dewasa amat penting bagi memastikan kanak-kanak memperoleh pengajaran yang tepat daripada penyertaan dalam kejohanan seni bela diri, termasuklah menetapkan nada yang betul untuk membantu membentuk cara peserta melihat kejayaan dan usaha.

“Pertandingan tempur boleh menjadi cara yang baik untuk kanak-kanak membina sahsiah dan mempelajari pengajaran hidup yang berharga, tetapi hanya jika orang dewasa turut serta untuk membimbing dan menerangkan perkara kepada mereka.

“Jika tidak, kemungkinan besar kanak-kanak akan dibiarkan buat kesimpulan mereka sendiri, dan ini boleh memudaratkan, contohnya, percaya bahawa kemenangan adalah satu-satunya matlamat dan sebarang keputusan lain tidak boleh diterima,” katanya.

Low, seorang pakar psikologi klinikal, menekankan kepentingan menerapkan dalam diri kanak-kanak bahawa niat di sebalik penyertaan dalam sukan sedemikian tidak sepatutnya hanya untuk menang.

Pertandingan sebegini, katanya, adalah tentang mempamerkan kemahiran, latihan dan kebolehan, bukan untuk mendominasi atau menyebabkan kecederaan.

“Terdapat perbezaan yang tipis antara kedua-duanya, tetapi itulah yang menjadikan sesebuah pertandingan itu bagus dan menghalangnya daripada menjadi (sesuatu yang) ganas atau agresif.”

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) Dr Intan Juliana Hamid bersetuju bahawa sukan tempur yang dijalankan dengan selamat dan bertanggungjawab mampu menawarkan banyak manfaat bagi kanak-kanak.

“Penyertaan dalam sukan tempur menyediakan kanak-kanak dengan persekitaran terkawal yang memupuk daya tahan psikologi, kebolehan mengawal emosi dan rasa kekitaan, semuanya penting (untuk dipelajari) sepanjang tahun-tahun penting pembesaran mereka,” katanya.

Beliau berkata, gabungan berstruktur kegiatan fizikal, rutin dan interaksi sosial menggalakkan pembangunan belia yang sihat.

Apabila dijalankan dengan betul, katanya, sukan ini menggabungkan dimensi fizikal, kognitif dan sosial yang membantu orang muda membina kesihatan mental dan daya tahan yang lebih utuh.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *