Lebih 40kg ganja disembunyi atas pokok bakau di Perlis

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata ganja itu diletakkan atas pokok bakau untuk mengelak dihanyutkan air pasang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pihak berkuasa merampas lebih 40kg ganja disembunyikan atas pokok bakau di kawasan paya dekat Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim, berkata 51 ketulan mampat ganja ditemui dalam guni putih dan plastik yang disembunyikan atas pokok bakau pada 1.30 pagi 24 Ogos lalu.

“Pemeriksaan menjumpai dua guni serta satu bungkusan plastik yang ditinggalkan atas pokok dan pemeriksaan selanjutnya menemui 39 ketulan mampat dan 12 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki ganja.

“Berat keseluruhan ganja yang ditemui itu 41.5kg dan dianggarkan bernilai RM378,000,” katanya menurut Harian Metro di pejabat Kastam Perlis di Kangar.

Beliau berkata, ganja itu dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut.

“Ganja itu ditinggalkan di kawasan paya bakau sekitar dua jam sebelum ditemui dan dipercayai kawasan berkenaan dijadikan transit.

“Siasatan awal kita mempercayai bekalan ganja itu diletakkan atas pokok bakau untuk mengelak dihanyutkan air pasang,” katanya sambil menambah ia dipercayai untuk pasaran pantai barat Semenanjung yang boleh digunakan 63,000 penagih dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *