Tertuduh, Yusof Omar, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka terhadap tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua muridnya berusia 14 dan 15 tahun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA: Seorang guru silat didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga pelajarnya berusia 14 dan 15 tahun.
Bagaimanapun, tertuduh, Yusof Omar, 44, mengaku tidak bersalah bagi kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, menurut Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual dan dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Dia juga didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.
Tertuduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di rumah beralamat Taman Telok Mas, kira-kira 2 petang 13 September lalu.
Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi remaja berusia 14 tahun di lokasi sama pada 8 Oktober lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Fiqri Hakim Zamri yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan keseluruhan RM70,000.
Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan pendapatannya tidak menentu selain menyara ibu sakit tua.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM24,000 selain bersetuju dengan syarat tambahan.
Hakim Rohatul dan Raja Noor Adilla masing-masing menetapkan 15 dan 23 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.
