Polis ditempatkan di Kampung Jalan Papan ketika kerja perobohan hari ini.
KLANG: Keadaan di Kampung Jalan Papan pagi tadi dipenuhi dengan kehadiran polis ketika kerja-kerja perobohan bermula di beberapa bahagian kampung terbabit.
Lebih 30 anggota polis ditempatkan di satu kawasan membabitkan kerja perobohan tiga buah rumah.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Foo berkata rumahnya akan dirobohkan tidak lama lagi walaupun dia belum ditawarkan tempat tinggal alternatif.
“Mereka belum beri saya tempat untuk berpindah, jadi ke mana saya mahu bawa barang-barang saya?” katanya yang menambah dia telah tinggal di kampung itu lebih 50 tahun.
Seorang penduduk Kampung Jalan Papan menunjuk ke arah rumahnya yang telah dirobohkan.
Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali, meluahkan rasa kecewa dengan keadaan tersebut dan apa yang disifatkannya sebagai kurangnya sokongan.
“Saya sudah tak tahu apa lagi hendak fikir tentang kerajaan ini, terus terang. Kami tinggal di sini dan mereka tak pernah bantu kami. Apa lagi yang saya rasa? Tunggu tua dan mati di sini saja.
“Saya rasa kalau anak-anak saya ada peluang, mereka patut pergi ke luar negara dan jangan kembali ke Malaysia. Memang tiada harapan,” katanya.
Dia juga mempersoalkan keputusan meneruskan perobohan tanpa pampasan, sedangkan penduduk telah ‘menunggu sekian lama’.
Rumah di kampung itu dirobohkan dengan jentera berat.
“Kalau pampasan ditawarkan dan kami enggan berpindah, itu memang salah kami. Tapi dalam kes ini, kamu tak bagi apa-apa dan masih paksa kami pindah.
“Ya, tanah ini kepunyaan (kerajaan negeri). Tapi tanpa penduduk di sini yang membangunkan kawasan ini, wujudkah jalan-jalan ini hari ini?” soalnya.
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Parti Sosialis Malaysia sebelum ini telah menggesa kerajaan Selangor menghentikan perobohan rumah kosong di kampung itu untuk projek pembangunan semula, memberi amaran bahawa hampir 100 keluarga mungkin kehilangan tempat tinggal.
Pada 23 Okt, kerajaan negeri berkata hanya rumah kosong dan premis perniagaan akan dirobohkan. Namun, pada 27 Okt, penduduk menerima notis baharu mengarahkan mereka mengosongkan rumah masing-masing.
Penduduk kampung sejak itu telah merayu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk campur tangan dan menangguhkan perobohan.
