PN tak janji ‘bulan bintang’, mampu laksana komitmen dalam 1 penggal, kata Saifuddin

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata 90% daripada calon  diumumkan PN adalah muka baharu.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah yakin Perikatan Nasional (PN) mampu melaksanakan komitmen kepada Sabah dalam tempoh satu penggal kerana tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada pengundi.

Sebaliknya, kata beliau, PN komited menyelesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya yang digelarnya ‘masalah tiga beradik’, membesarkan kek ekonomi tempatan, dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Ia perkara-perkara praktikal dan mampu dilaksanakan dalam tempoh satu penggal,” katanya, yang juga ketua portfolio pendidikan PN, ketika rakyat Sabah bersiap-sedia untuk memilih kerajaan baharu pada 29 Nov ini.

Malah, beliau mendakwa PN terawal berjanji untuk memulangkan 40% hasil persekutuan kepada Sabah, yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini diumumkan sebelumpun mahkamah membuat keputusan tentangnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kegagalan kerajaan menyelesaikan ‘masalah tiga beradik’ amat menghampakan rakyat Sabah, di sebalik perpecahan dalam kalangan parti kerajaan, sambil merujuk kepada langkah Upko keluar Pakatan Harapan (PH).

“Tindakan Upko keluar daripada PH menambahkan lagi masalah kerajaan,” katanya.

Sebaliknya, PN menampilkan calon yang menurutnya berkemampuan dengan latar belakang pendidikan tinggi dan profesional, berintegriti, dan sedia berkhidmat kepada rakyat.

“Seramai 41 calon diumumkan. 90% daripadanya muka baru. 30% adalah anak muda,” katanya.

Menurut Saifuddin, ‘angin perubahan’ yang bertiup di Sabah ini diusahakan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee sejak Januari 2023.

Katanya, Hamzah bersama Ronald melancarkan jelajah pada 15 Jan lalu, di mana slogan ‘Kasi Bagus Sabah’ mula dilaungkan, di samping pelbagai ceramah kelompok dan program ziarah melibatkan bakal calon.

“Pada satu masa dahulu, terdapat pihak-pihak yang menganggap PN tidak lagi bertapak di Sabah. Tetapi, angin perubahan mula bertiup apabila PN mengorak langkah bersiap menghadapi PRN ini,” katanya.

Pada penggal DUN ke-16, satu-satunya wakil PN adalah Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan, yang mengangkat sumpah sebagai Adun dilantik pada Oktober 2020.

Pada 11 Nov lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata masalah air, elektrik, dan jalan raya di Sabah akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun jika gabungan itu diberi mandat mentadbir selepas PRN hujung bulan ini.

Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baharu Sabah. Penamaan calon akan diadakan 15 Nov.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *