Menurut pakar pendidikan, pertukaran guru tidak boleh dipandang enteng kerana melibatkan kesihatan mental dan boleh menyebabkan tekanan hingga ada yang memilih bersara awal.
PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan sistem pertukaran ‘suka sama suka’ untuk guru di sekolah boleh dilaksanakan tetapi dengan bersyarat seperti membenarkan ia dilakukan setiap lima bulan sekali untuk mengelakkan keadaan tidak terkawal, menurut pakar pendidikan.
Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kaedah itu tidak akan bertindih dengan sistem e-GTukar sedia ada, sebaliknya menjadi jalan keluar bagi guru yang gagal mendapat penempatan melalui sistem rasmi.
“Pertukaran guru ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan kesihatan mental guru. Bayangkan rasa tekanan guru yang perlu berjauhan dari keluarga sehingga ada yang memilih untuk bersara awal.
“Kalau kita boleh permudah urusan dan bantu mereka untuk bertugas dengan hati yang senang, apa salahnya? Cuma perlu ada beberapa syarat misalnya pertukaran ‘suka sama suka’ hanya boleh dibuat bagi setiap lima bulan,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, seorang wakil rakyat kerajaan mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan sistem itu seperti diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah.
Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata sistem itu boleh membantu kebajikan guru terutama bagi menyelesaikan isu pasangan berjauhan atau penempatan jauh dari keluarga.
KKM pada 1 Oktober lalu melancarkan Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) untuk mengurangkan birokrasi, mempercepatkan proses pertukaran penempatan dan menjaga kebajikan warga kesihatan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata pihaknya menyokong segala kaedah yang mampu menyelesaikan isu pertukaran dan penempatan guru.
Namun katanya, pertukaran bukan hanya melibatkan guru tetapi juga sistem sumber manusia di KPM secara menyeluruh.
“Kekosongan itu turut melibatkan bidang kepakaran guru dan nisbah guru-murid. Diharap KPM dapat membuka segala ruang yang boleh supaya segala isu melibatkan penempatan guru dapat diselesaikan,” katanya.
