Ketua Umno Sipitang Abd Rahman Mohd Noh berkata ia bagi memastikan perjuangan dan maruah Umno di Sipitang terus dipertahankan, selaras dengan semangat solidariti parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Umno Bahagian Sipitang memutuskan untuk tidak memberikan kerjasama kepada calon PKR yang bertanding di DUN Sindumin pada PRN Sabah pada 29 Nov ini.
Ketuanya Abd Rahman Mohd Noh berkata keputusan itu selaras dengan Perkara 20.11 dan 20.13 Perlembagaan Umno yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat daripada parti.
“Umno Sipitang rasa dukacita selepas Barisan Nasional (BN) tidak diberikan ruang untuk meletakkan calon di DUN Sindumin.
“Sehubungan itu, Umno Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada parti PKR dan Pakatan Harapan (PH) di DUN Sindumin,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seluruh bilik gerakan di 17 pusat daerah mengundi bagi kawasan DUN Sindumin ditutup serta-merta dan jentera BN dikawasan itu juga tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan perjuangan dan maruah Umno di kawasan Sipitang terus dipertahankan, selaras dengan semangat solidariti parti,” katanya.
Keputusan itu juga dilihat menjejaskan pakatan pilihan raya yang dijalin antara BN dan PH untuk menghadapi PRN tersebut.
PKR Sabah sebelum ini menamakan Yamani Hafez Musa akan bertanding di DUN Sindumin yang kini disandang Warisan.
Yamani yang juga anak lelaki Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN pada PRU 2018.
Beliau kemudiannya menyertai Bersatu dan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU 2022.

https://shorturl.fm/BOfof