Maimunah Sharif dilantik sebagai datuk bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Tempoh perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Sharif dipendekkan dengan penggalnya kini berakhir esok berbanding tarikh asal 16 Ogos tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar berkata keputusan itu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dibuat bagi memberi ruang kepada Maimunah dilantik ke sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi yang diberi peranan bangunkan mercu tanda baharu di ibu negara.
“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman beliau dalam perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai pengarah eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dilantik sebagai datuk bandar Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan itu.
Maimunah, yang berkelulusan ijazah perancangan bandar dari Universiti Cardiff, memulakan kerjayanya sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 1985 sebelum dilantik sebagai pengarah jabatan perancangan pada 2003.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai pengurus besar pertama George Town World Heritage Inc pada 2009, agensi negeri yang menguruskan tapak warisan dunia Unesco itu.
Maimunah dilantik sebagai Yang dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 2011 dan kemudian berkhidmat sebagai datuk bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada 2017.
Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai pengarah eksekutif UN-Habitat, menjadi wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut.
Beliau dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada 19 Jan tahun lalu. Maimunah juga pernah memegang jawatan sebagai pemangku ketua pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Nairobi sebelum kembali ke Malaysia pada Februari tahun lalu.
