Naimah dibenar campur tangan usaha SPRM beku aset luar negara

Naimah Abdul Khalid memfailkan saman memohon mahkamah menilai sama ada wajar SPRM membekukan aset Daim Zainuddin tanpa menamakannya dan jika agensi itu menggunakan prosedur betul berbuat demikian.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Na’imah Abdul Khalid perlu dibenarkan dinamakan sebagai pihak dalam usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset lebih RM1 bilion arwah suaminya di Jersey, wilayah naungan Mahkota British.

The Edge melaporkan Naimah memfailkan saman memohon mahkamah menilai sama ada wajar SPRM membekukan aset bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin tanpa menamakannya dan jika agensi antirasuah itu menggunakan prosedur betul berbuat demikian.

Hakim Jamil Hussin ketika menyampaikan keputusan itu berkata, Naimah menunjukkan kepentingan sahnya dalam empat syarikat di Jersey yang memegang aset cuba dibekukan SPRM.

Justeru, katanya, Naimah perlu dinamakan dalam kes itu dan permohonan SPRM bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 tidak boleh difailkan secara ex parte atau sebagai permohonan sebelah pihak.

Aset di Jersey itu dikatakan bernilai kira-kira USD157.5 juta (RM660 juta) dan £85 juta (RM469 juta).

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 21 Jan depan.

Naimah diwakili peguam Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat mewakili SPRM.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *