Projek sewa tren dengan China, MoF teliti potensi syarikat tempatan

Kementerian Kewangan berkata usaha wajar sedang dilaksanakan, antaranya mengenal pasti keupayaan projek itu memenuhi objektif strategik negara, penentuan daya maju komersial dan pematuhan obligasi tadbir urus korporat syarikat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memuktamadkan penglibatan mana-mana syarikat tempatan dalam projek sewaan set kereta api dengan syarikat China, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen semalam, kementerian itu berkata, kerajaan berhasrat mencalonkan syarikat tempatan mempunyai keupayaan untuk memangkin ekosistem industri rel negara, khasnya dalam membangunkan kandungan tempatan.

“Satu usaha wajar sedang dilaksanakan, antaranya untuk mengenal pasti keupayaan projek itu dalam memenuhi objektif strategik negara, penentuan daya maju komersial dan pematuhan terhadap obligasi tadbir urus korporat syarikat.”

Menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri), MoF berkata, peranan serta peratusan kawalan atau pemilikan syarikat tempatan dalam pengoperasian dan pemilikan aset projek pajakan kereta api itu akan ditentukan selepas usaha wajar selesai.

Tan ingin tahu sama ada UEM Group Bhd mempunyai rancangan dalam rundingan daripada sebahagian projek sewaan 62 set kereta api dengan CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd, termasuk penglibatan dalam pembuatan, penyelenggaraan atau pengurusan serta pemilikan dalam pengoperasian dan pemilikan aset syarikat kereta api.

Terdahulu, media tempatan melaporkan UEM Group diberi mandat oleh Putrajaya untuk memperoleh 51% kepentingan dalam syarikat China, CRRC RSC.

Perjanjian ini berkaitan rancangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) memajak 62 set kereta api penumpang baharu dengan kos RM10.7 bilion dalam tempoh 30 tahun.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *