Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim titah baginda memantau rapat perkembangan beberapa projek kesihatan utama di Johor termasuk Hospital Pasir Gudang yang lewat siap (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bimbang terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi.
Tunku Mahkota Johor itu bertitah sehingga kini, tiada penyelesaian menyeluruh disediakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik termasuk pelaksanaan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat atau alternatif pengangkutan lain di kawasan sekitar Bukit Chagar
“Kerajaan persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan sekiranya penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan.
“Namun begitu, Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” titah baginda dalam satu hantaran di X.
Pada Februari lalu, Kementerian Pengangkutan mengarahkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melaksanakan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi Projek Sistem ART bertingkat, Johor Bahru.
Menterinya Loke Siew Fook berkata kerajaan memang berhasrat membina ART bertingkat itu tetapi akan menilai RFP terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Projek ART bertingkat dilaporkan menelan kos hampir RM7 bilion dan bakal beroperasi seiring dengan RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura pada 1 Jan 2027.
Sementara itu, Tunku Ismail juga memaklumkan baginda memantau rapat perkembangan beberapa projek kesihatan utama di Johor termasuk Hospital Pasir Gudang yang lewat siap, isu-isu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), serta kelewatan projek Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).
“Saya berharap agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan Johor tidak lagi seolah-olah diketepikan,” titah baginda.
