UM semak semula artikel Solehah dibangkitkan sarjana

Universiti Malaya hari ini berkata pihaknya kekal komited memupuk budaya penyelidikan yang bertanggungjawab dan memastikan kepercayaan terhadap komuniti akademiknya terus terpelihara.

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) telah memulakan satu semakan menyeluruh terhadap sebuah artikel diterbitkan dalam Jurnal Al-Tamaddun pada 2018, selepas seorang sarjana bebas membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan laporan berita satira sebagai bukti fakta.

Sharifah Munirah Alatas menggesa artikel bertajuk “Discourse on the Bible Compilation Framework Timeline: A Relation with the Development of Islamic Source” ditarik balik, selepas mendapati ia mengandungi perenggan yang mendakwa Tamadun Yunani purba adalah “direka sepenuhnya” oleh ahli sejarah – sedangkan dakwaan itu asalnya dari artikel satira diterbitkan portal Amerika Syarikat, The Onion, pada 2010.

UM dalam maklum balasnya berkata semakan terperinci terhadap artikel dan proses penyuntingannya sedang dijalankan.

“UM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan integriti akademik dan kredibiliti penyelidikan.

“Semakan ini akan membantu menentukan tindakan sesuai, selaras komitmen UM terhadap standard tinggi etika penyelidikan dan penerbitan.”

Semakan FMT mendapati artikel tersebut ditulis oleh pensyarah Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Solehah Yaacob, yang sebelum ini menarik perhatian atas beberapa dakwaan kontroversi.

Beliau sebelum ini pernah mencadangkan bahawa orang Rom purba mungkin mempelajari teknik pembuatan kapal daripada pelaut Melayu serta mendakwa orang Melayu purba mampu terbang dan mengajar masyarakat Cina ‘kung fu terbang’.

Beliau juga pernah mendakwa bahawa isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berasal daripada alam Melayu.

UM berkata pihaknya kekal komited memupuk budaya penyelidikan yang bertanggungjawab dan memastikan kepercayaan masyarakat terhadap komuniti akademiknya terus terjamin.

Ahad lalu, Munirah mengkritik artikel itu kerana masalah atribusi yang tidak tepat, teks disalin namun diterbitkan sebagai hasil asli, serta penggunaan nota kaki merujuk sumber satira yang jelas.

Dalam satu hantaran Facebook, beliau mencadangkan artikel itu ditarik balik, diperbaiki dan sekali lagi melalui proses semakan rakan sebaya sebelum boleh dikemukakan semula untuk penerbitan.

Beliau menambah ahli akademik sepatutnya mampu mengenal pasti kandungan satira dan tidak menjadikannya bahan rujukan ilmiah, kecuali jika kajian tersebut berkaitan satira, penipuan akademik atau ketidakcekapan ilmiah.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *