Abdul Rahman Dahlan berkata beliau dan Bung Moktar Radin sepakat mara ke depan sebagai satu pasukan dan fokus bawa kemenangan kepada BN.
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan menegaskan hubungan dengan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin ‘solid’ sebagai satu pasukan sekali gus menolak spekulasi hubungan mereka retak menuju PRN.
Rahman yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) DUN Tempasuk berkata, perbezaan pandangan dalam parti perkara biasa namun ia tidak menjejaskan kerjasama kepimpinan di peringkat negeri.
Katanya, sebagai timbalan ketua Umno dan BN Sabah, beliau dan Bung sepakat untuk mara ke depan sebagai satu pasukan dan fokus membawa kemenangan kepada BN pada 29 Nov ini.
“Kalau tengok sejarah saya dengan Bung, kami sebenarnya tiada masalah. Dulu masa PRK Kimanis 2020 pun kami duduk sama-sama. Biasalah ada perbezaan pendekatan, tapi itu perkara kecil.
“Kami dah bercakap, ke hadapan ini, kita solid sebagai satu team. Fokus kita hanya satu – Umno kembali memenangi PRN Sabah.
“Benda-benda kecil yang remeh itu kita ketepikan,” katanya kepada FMT.
Sejak beberapa tahun lalu, Bung dan Rahman beberapa kali dilihat berbalah, termasuk tahun lalu apabila Rahman menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke perasmian mesyuarat Umno Tuara yang dirasmikan Presiden Umno Zahid Hamidi.
Mac lalu, mereka sekali lagi berbalah berhubung kawasan mana patut Rahman bertanding dalam PRN.
Julai lalu, Bung menasihati timbalannya itu supaya berhenti mengungkit perkara lepas, khususnya berkait kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ yang diketuai Bung pada 2023.
Kelmarin, Zahid berkata hanya ada satu pasukan BN di Sabah bukannya berpecah kepada beberapa kelompok dinamakan ‘Orang Bung, ‘Orang Rahman’ dan ‘Orang Salleh’ (merujuk Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak).
BN setakat ini mengumumkan 41 calon yang menurut Bung senarai diumumkan kelmarin boleh berubah sehingga penamaan calon pada 15 Nov.
Menjawab PRN kali ini sebagai medan ujian gandingan kepimpinan beliau dan Bung, Rahman menegaskan perjuangan parti tidak berpaksi kepada hanya dua figura lama tetapi disokong oleh kombinasi barisan kepimpinan berpengalaman dan calon muda.
“Bukan saya dan Bung sahaja. Kita ada Mohamad Alamin, Salleh, Yaakub Khan – semuanya berpengalaman. Kami ada kombinasi kepimpinan matang dan calon muda yang beri nafas baharu kepada Umno Sabah.
“Ia kombinasi yang sangat menarik,” katanya.
Mengulas senarai 41 calon BN, Rahman menyifatkan komposisi itu sebagai ‘segar dan seimbang’, dengan 80% muka baharu termasuk profesional muda, pakar perubatan dan tokoh masyarakat yang berpotensi besar menarik sokongan pengundi muda.
“Pertambahan pengundi muda tidak dapat dinafikan. Jadi kita kena bersedia dari sekarang. Calon muda yang kita letakkan hari ini akan memahami generasi akan datang. Kita yang veteran ni pun kena beri laluan,” katanya.
Rahman berkata, kekuatan Umno selama ini ialah keupayaan melahirkan bakat kepimpinan tanpa perlu bergantung kepada pihak luar dan PRN kali ini menjadi medan untuk menonjolkan wajah baharu kepada politik arus perdana.
“Umno tidak pernah putus bakat kepimpinan. Yang penting sekarang ialah beri mereka pendedahan. Ini sebahagian usaha kami untuk dedahkan mereka kepada politik persekutuan, supaya satu kitaran pilihan raya lagi nanti, mereka sedia menggantikan kami,” katanya.
