Penduduk teruskan perjuangan pelihara tanah Tanjung Bungah

Imej satelit sebidang tanah di Tanjung Bungah dikenali sebagai ‘Sore Thumb’ lokasi cadangan pembinaan sebuah suite kesejahteraan dan taman awam.

GEORGE TOWN: Penduduk Tanjung Bungah meneruskan perjuangan mereka untuk menghalang sebuah pemaju daripada membersihkan sebidang tanah tepi laut yang kini ditumbuhi hutan, bagi projek suite kesejahteraan (wellness suites) dan taman awam.

Penduduk baru-baru ini kalah dalam kes mahkamah untuk membatalkan penukaran guna tanah tersebut. Namun, satu rayuan terhadap kelulusan perancangan yang diberikan kepada pemaju kini sedang didengar oleh Lembaga Rayuan Pulau Pinang.

Tanah itu kini sedang dibersihkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan, menurut seorang penduduk kondominium One Tanjung yang terletak bersebelahan, kepada FMT.

Sejak ditebus guna daripada laut lebih dua dekad lalu, kawasan itu — yang digelar ‘Sore Thumb’ oleh penduduk — menjadi tempat perlindungan pelbagai spesies haiwan, seperti memerang, lotong kelabu, helang dan burung migrasi.

Seorang penduduk yang juga ekspatriat Eropah yang enggan dikenali berkata pemaju, Lone Pine Group, tidak sepatutnya meneruskan sebarang kerja tanah sehingga Lembaga Rayuan Pulau Pinang membuat keputusan.

“Jika lembaga membatalkan atau mengubah kelulusan perancangan, apa yang dilakukan pemaju tidak boleh dikembali begitu sahaja — dan kerosakan terhadap ekosistem mungkin sudah tidak dapat dipulihkan,” katanya.

Keadaan tanah itu yang kini sedang menjalani kerja-kerja pembersihan tanah.

Penduduk mendakwa pemaju menjalankan kerja penambakan tanah secara haram sejak lebih 20 tahun lalu bagi dijadikan tapak pembuangan batu dan tanah.

Tanah yang ditebus guna itu kemudiannya dibahagikan kepada dua lot — satu diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala satu lagi, Lot 4658, disewa kepada Lone Pine Group, pemaju projek One Tanjung, yang berhasrat membangunkan tanah itu.

Penduduk kini menunggu laporan penilaian impak trafik, alam sekitar dan sosial yang diluluskan bagi projek tersebut, yang diminta Lembaga Rayuan Negeri untuk diserahkan pemaju selewat-lewatnya 13 Nov.

Seorang penduduk Tanjung Bungah yang enggan dikenali menyuarakan kebimbangan bahawa taman awam yang dicadangkan itu tidak beri manfaat kepada komuniti tempatan, sebaliknya lebih berfungsi untuk program pemulihan pelanggan pusat tersebut.

Beliau juga berpandangan tiada keperluan untuk sebuah lagi taman awam kerana taman awam Hillside hanya terletak kira-kira 300m dari lokasi itu.

Penduduk itu yang juga ekspatriat asing, mendakwa pembangunan yang dicadangkan tidak mematuhi peraturan alam sekitar yang mengawal projek di tepi pantai dan mengandungi penyelewengan prosedur serta undang-undang yang perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Zulfikar Abdul Aziz.

Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Zulfikar Abdul Aziz, memberitahu FMT bahawa pihaknya telah menghubungi pejabat ketua menteri pada 17 Okt untuk memohon satu pertemuan bagi membincangkan kebimbangan penduduk.

FMT menghubungi pejabat ketua menteri untuk mendapatkan maklum balas.

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 49 pemilik pangsapuri One Tanjong untuk mendapat kebenaran merayu dalam usaha mereka membatalkan keputusan menukar status guna tanah berkenaan.

Laporan impak sedang disiapkan, kata pemaju

Kumpulan Lone Pine berkata projek suites kesejahteraan dan taman awam itu telah mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi laporan penilaian impak alam sekitar, sosial dan trafik.

“Kami sedang dalam proses mengumpul laporan-laporan yang diminta untuk diserahkan kepada perbadanan pengurusan One Tanjong,” kata jurucakap syarikat, Ooi Sheng Long kepada FMT.

Ooi Sheng Long.

Ooi menafikan dakwaan bahawa syarikat itu gagal berunding dengan penduduk mengenai projek tersebut, sambil menjelaskan bahawa sesi perbincangan kumpulan fokus diadakan bukan sahaja dengan penduduk One Tanjong, tetapi juga kondominium dan kawasan kejiranan dalam radius 2km dari tapak tersebut.

Katanya, perbincangan itu diadakan sebagai sebahagian daripada penilaian impak sosial yang diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan. Bagaimanapun, sebahagian penduduk tidak memberi maklum balas terhadap projek berkenaan.

“Kami berharap penduduk dapat melantik wakil mereka untuk berunding dengan pemaju supaya kami dapat memahami dengan lebih baik kebimbangan mereka mengenai projek ini,” tambahnya.

Beliau juga berkata syarikat diberikan kebenaran oleh jabatan perancangan bandar dan desa negeri antara Mei hingga Julai tahun ini untuk menjalankan kerja-kerja penghadangan, pembersihan dan kerja tanah di tanah milik kerajaan serta Lot 4658.

Ooi menegaskan bahawa syarikat tidak memandang ringan projek taman awam itu, kerana komited untuk membina sebuah taman yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti sambil mengekalkan landskap sedia ada.

“Kami sedang berusaha memberikan kepada negeri dan rakyat taman awam yang diminta oleh pihak seperti TBRA selama bertahun-tahun,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *