Padah hantaran jelik, kakitangan RHB tamat perkhidmatan

Terdahulu, RHB tegaskan bahawa pandangan yang disuarakan kakitangannya di media sosial ialah pandangan peribadinya, sama sekali tidak mewakili atau menggambarkan pendirian syarikat.

PETALING JAYA: Seorang kakitangan RHB Banking Group dipercayai telah ditamatkan perkhidmatan selepas memuat naik hantaran di media sosial memaparkan imej perdana menteri yang disunting, memaparkan beliau mengenakan pakaian beridentitikan bendera Israel.

Dalam kenyataan ringkas petang ini, RHB memaklumkan siasatan dalaman telah selesai dijalankan dan ‘individu terbabit bukan lagi kakitangan RHB, berkuat kuasa 31 Okt’.

“Kami mengamalkan dasar toleransi sifar yang tegas terhadap sebarang kelakuan yang bercanggah dengan kod etika dan tatakelakuan kami,” katanya dalam kenyataan.

RHB bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada individu itu dipecat atau meletak jawatan. FMT sedang cuba mendapatkan pengesahan lanjut daripada syarikat itu.

Terdahulu, bank itu menjamin tindakan disiplin yang bersesuaian akan dikenakan sekiranya didapati berlakunya pelanggaran kod etika dan tatakelakuan syarikat.

RHB turut menegaskan, pandangan yang disuarakan kakitangan tersebut ialah pandangan peribadinya, sama sekali tidak mewakili atau menggambarkan pendirian syarikat.

Imej yang dimuat naik di Facebook itu kini tular.

Insiden itu menyusul beberapa hari selepas Anwar Ibrahim membidas pengkritik yang mempersoalkan keputusan kerajaan mengundang Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Ketika mempertahankan keputusan tersebut, Anwar berkata, beliau berpeluang bercakap secara peribadi dengan presiden AS itu berhubung pelbagai isu, termasuk serangan ke atas Gaza oleh Israel, yang merupakan sekutu teguh Washington.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *