Ismanira Abdul Manaf, 30, tiba di kompleks mahkamah Petaling Jaya bersama suaminya Zaim Ikhwan Zahari.
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap ibu kepada kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matin selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya.
Hakim Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas mendengar hujahan daripada peguam Ismanira dan pihak pendakwaan.
Terdahulu, hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya terhadap Ismanira tanpa keraguan munasabah.
Pertuduhan pengabaian kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa tahun lalu kerana mengabaikan anak mereka dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Disember 2023, ketika Zayn dilaporkan hilang dan 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Zaim telah dibebaskan pada Julai lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
