DBKL perlu perkukuh koordinasi dengan NGO dan kumpulan masyarakat sivil dalam usaha menyalurkan bantuan kepada gelandangan.
PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menyusun semula kaedah penyelarasan bantuan kepada gelandangan di ibu negara dengan menumpukan semangat kerjasama bukannya kawalan birokrasi.
Koordinator Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Haziq Fikri Jasni, berkata perlu ada sistem pendaftaran yang mudah dan terbuka selain saluran komunikasi tetap antara DBKL dan kumpulan lapangan.
Katanya, ini penting bagi memastikan jadual agihan dan lokasi dapat diselaras dengan baik sekali gus mengelakkan pembaziran dan pertindihan.
“DBKL perlu memperkukuh koordinasi dengan NGO dan kumpulan masyarakat sivil tanpa menambah lapisan birokrasi yang boleh menyukarkan kerja sukarelawan di lapangan.
“Sekiranya lokasi itu bukan lokasi yang khusus tersedia oleh DBKL, janganlah dianggap kumpulan sukarelawan ingin membantah penyelarasan pihak berkuasa, namun sebagai bukti kebersamaan komuniti sedia ada sejak dahulu,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dilapor menyarankan NGO, badan kebajikan serta pempengaruh yang ingin memberi bantuan kepada gelandangan supaya berdaftar dan berkolaboratif dengan DBKL bagi memastikan aktiviti pengagihan bantuan dijalankan secara tersusun.
Katanya, DBKL sudah menetapkan beberapa lokasi khusus bagi tujuan pengagihan makanan, namun masih terdapat pihak yang berdegil dan menjalankan aktiviti di tempat awam sehingga mencemar imej bandar raya.
Dalam pada itu, Haziq berkata pendaftaran yang terlalu ketat boleh melambatkan bantuan terutama ketika krisis sama ada banjir, situasi alam atau kecemasan sosial.
Pengasas bersama Kembara Kitchen, William Cheah, pula berpendapat DBKL perlu mengambil pendekatan lebih inklusif bagi menggalakkan usaha kerjasama rapat dengan NGO dalam misi bantuan sosial.
Beliau berkata, misalnya semasa pendaftaran pihak berkuasa perlu mengenal pasti secara proaktif keupayaan unik, lokasi operasi, pengkhususan seperti jenis makanan dan kemudahan sokongan ditawarkan setiap NGO.
“Pendekatan ini akan membolehkan NGO merasakan mereka mempunyai hak bersuara dan peranan diiktiraf dalam usaha bantuan sosial tersebut. Ia mungkin lebih baik untuk menggalakkan usaha kerjasama berbanding pendekatan ‘top-down’,” katanya.
Sementara itu, Pengasas The Lost Food Projek, Suzanne Mooney, berkata kolaborasi dengan DBKL dapat membantu usaha penyaluran bantuan lebih cepat dan berkesan kepada yang memerlukan, selain mengurangkan pembaziran.
“Kerjasama rapat dengan DBKL memberi kredibiliti kepada kami supaya dilihat sebagai rakan kongsi dipercayai dan praktikal untuk menguruskan lebihan makanan secara bertanggungjawab.
“Ia telah ‘membuka pintu’ dan menjadikannya lebih mudah untuk berinteraksi dengan vendor yang mungkin ragu-ragu, sebaliknya rasa terjamin bahawa lebihan makanan mereka disalurkan ke tempat betul,” katanya.
