PRN Sabah: SAPP, STAR keluar GRS taktik politik lama – Ahmad Zahid

PRN Sabah: SAPP, STAR keluar GRS taktik politik lama – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu taktik politik lama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata langkah itu dilihat sebagai strategi sementara untuk membolehkan kedua-dua parti bertanding atas lambang masing-masing sebelum kembali bekerjasama selepas pilihan raya.

“Bacaan saya, apabila SAPP dan STAR meninggalkan GRS, ini merupakan taktik politik untuk mereka bertanding dengan lambang masing-masing, dan nanti mereka akan bersama semula apabila mahu membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad YPM 2025 Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin hari ini, beliau yakin pengundi Sabah cukup matang menilai gerak politik sedemikian.

“Saya tidak rasa pengundi-pengundi di Sabah akan terperangkap dengan taktik politik lama seperti ini. Mereka cukup pintar untuk menolak permainan sedemikian,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Barisan Nasional (BN) kekal menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

Pada Khamis lepas, STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya pada Rabu -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *