Axelsen rangkul gelaran ke-2 Masters Malaysia

Viktor Axelsen juara Masters Malaysia menumpaskan Lee Zii Jia 21-6, 20-22, 21-23. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penyandang jaguh Olimpik, Viktor Axelsen mengatasi sokongan padu tuan rumah serta pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk merangkul gelaran kedua pada aksi final Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil.

Axelsen, pemain nombor satu dunia mengambil masa 63 minit untuk menewaskan Zii Jia, pemain ranking ke-10 dunia dengan keputusan 21-6, 20-22, 21-23, sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2018.

Kemenangan itu juga membantu pemain Denmark itu merangkul gelaran pertama tahun ini serta menamatkan kemarau gelaran selama lima bulan selepas kali terakhir memenangi kejuaraan siri Jelajah Akhir Dunia 2023 di Hangzhou, China pada Disember tahun lalu.

Penantian Zii Jia untuk merangkul kejuaraan sulung di laman sendiri berlarutan serta gagal dalam misi untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu.

Pencapaian terbaik Zii Jia dalam Malaysia Masters ialah penampilan separuh akhir pada 2020 apabila tewas kepada juara Kento Momota dari Jepun, manakala mara ke suku akhir pada 2019.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *