Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata beliau tidak ‘berseloroh’ apabila memberitahu Parlimen bahawa dakwaan Khazanah menjual kepentingan dalam MAHB kepada syarikat asing hanyalah andaian pembangkang. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata beliau tidak mengelirukan Parlimen pada Mac apabila menolak dakwaan Ahli Parlimen pembangkang bahawa Khazanah Nasional Bhd merancang untuk menjual pegangannya dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Ia susulan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu mengesahkan rancangan mereka untuk mengambil alih MAHB melalui konsortium dan melaksanakan penswastaan terhadap pengendali lapangan terbang itu.
Loke berkata beliau mempertahankan kenyataannya di Parlimen dan berkata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad yang membuat dakwaan itu, mempunyai maklumat yang tidak tepat.
“Dia (Wan Fayshal) kata kita jual, kita tak jual. Khazanah meningkatkan pegangan dalam MAHB,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasukan petugas logistik kebangsaan di sini hari ini.
“Sehingga hari ini dia masih kata kita akan jual, yang mana mengelirukan orang ramai.
“Saya tetap dengan apa yang saya cakap di Parlimen. Saya tak bercakap secara berseloroh.”
Loke juga berkata Kementerian Pengangkutan, yang berperanan sebagai pengurus aset strategik kerajaan menyokong keputusan untuk menswastakan MAHB.
Beliau berkata ini akan membantu syarikat mempercepatkan proses membuat keputusan strategiknya.
“Kita tidak menjual saham itu. Ini bermakna konsortium akan mempunyai kepentingan yang lebih besar kerana pada masa ini Khazanah dan KWSP hanya mempunyai sekitar 40% saham (MAHB),” tambahnya.
Sehingga 14 Mei, konsortium dan syarikat induknya secara agregat memiliki 41.1% daripada modal saham terbitan MAHB. Perjanjian itu akan menyaksikan Khazanah meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%.
Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70% daripada MAHB manakala ADIA dan GIP akan memegang baki 30%.

Can you be more specific about the content of your article? After reading it, I still have some doubts. Hope you can help me.
Can you be more specific about the content of your article? After reading it, I still have some doubts. Hope you can help me.