IPOH: Nota berbaur ugutan yang ditujukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dijumpai di hadapan rumah ibunya di Ayer Tawar, Manjung pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan polis mengenai perkara itu daripada ibu Nga kira-kira 10.15 pagi.
Beliau berkata menurut laporan itu pengadu yang berusia 76 tahun mendapati banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya dengan tulisan yang berbaur ugutan dan dipercayai mempunyai niat tidak baik pada kira-kira 7.30 pagi.
“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,“ katanya.
Mohamed Nordin berkata kes itu masih dalam siasatan dan punca kejadian belum diketahui selain usaha mengesan individu yang terlibat kini giat dijalankan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099.
Sementara itu DAP Negeri Perak dalam kenyataan di Facebook mengutuk tindakan pihak yang menghantar nota ugutan itu yang melanggar undang-undang selain bercanggah dengan nilai masyarakat.
“DAP yang menyanjung kedaulatan undang-undang berpandangan setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal,” menurut kenyataan itu.
DAP Perak juga memohon semua pihak mengekalkan ketenangan dan bersikap rasional di samping menyatakan simpati serta solidariti terhadap ibu Nga.
“Bagi pihak kami, pada masa ini, adalah penting untuk semua pihak mengamalkan semangat perpaduan demi memelihara keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
“Hanya melalui sikap hormat, ihsan, toleransi serta keyakinan antara satu sama lain, kita boleh membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera, mampan dan berdaya cipta,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Thank you, your article surprised me, there is such an excellent point of view. Thank you for sharing, I learned a lot.
Your point of view caught my eye and was very interesting. Thanks. I have a question for you.
I don’t think the title of your article matches the content lol. Just kidding, mainly because I had some doubts after reading the article.