PETRA bangunkan sistem pengurusan Imbangan Air di 19 lembangan sungai

PETRA bangunkan sistem pengurusan Imbangan Air di 19 lembangan sungai

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (Nawabs) di 19 lembangan sungai,

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program itu bertujuan memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuklah tindakan mitigasi dan persediaan awal oleh pelbagai agensi berkaitan dalam menghadapi musim kemarau.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sehingga kini tujuh lembangan sungai telah siap dan mula beroperasi manakala sembilan lembangan sungai lain dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2027.

“Program ini turut melibatkan pemakluman ramalan kemarau dua bulan lebih awal dan amaran kemarau 14 hari lebih awal serta pemakluman aras dan storan empangan bagi pemantauan kemarau.

JPS turut memantau 25 empangan lain bagi memastikan storan pada tahap siap siaga sebagai sumber air domestik dan pertanian,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai penyelarasan antara agensi serta usaha untuk memanfaatkan air banjir bagi menghadapi musim kemarau, pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Fadillah berkata usaha untuk memanfaatkan air banjir atau lebihan air hujan hanya boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah penyelesaian secara struktur termasuk pembinaan empangan, struktur pembendung air (weir) atau kolam takungan seperti hybrid of river augmentation (HORAS) yang sedang dilaksanakan di Sungai Klang dan Sungai Melaka.

Beliau berkata kementerian juga akan terus memperluas pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang merupakan satu sistem takungan dibina di tepian sungai untuk menerima lebihan air sungai khususnya ketika musim hujan.

“Takungan air daripada TAPS akan dilepaskan ke aliran sungai atau terus ke LRA (loji rawatan air) jika diperlukan ketika musim kering atau ketika berlakunya pencemaran di sungai bergantung kepada kapasiti dan sumber air yang ada,” katanya menambah TAPS juga bertindak sebagai kawalan banjir ketika musim tengkujuh untuk menakung lebihan aliran air banjir.

Menurutnya kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan kerajaan negeri bagi menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah ketika musim kemarau termasuk melakukan operasi pembenihan awan bertujuan meningkatkan paras air di empangan.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah mengenai perancangan jangka panjang kerajaan mengenai isu bekalan air di Kelantan, Fadillah berkata masalah utama di Kelantan adalah kekurangan LRA dan Kerajaan Persekutuan akan membantu kerajaan negeri dalam menyiapkan projek LRA dari segi sumber bekalan air.

Beliau berkata Kelantan juga mendapat banyak projek yang dilaksanakan melalui Kerajaan Persekutuan termasuk projek tebatan banjir antaranya di Chicha, Kubang Kerian; Bukit Chupak, Gua Musang; Tanjung Mas, Kota Bharu dan Tok Bali, Bachok.

Fadillah berkata kerajaan turut memberikan peruntukan tambahan RM500 juta secara pinjaman kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu bekalan air, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pertengahan tahun lepas.

“Jadi itu perbincangan yang sepatutnya dilaksanakan di antara kerajaan negeri dan kita (Persekutuan), memang sedang rancak dilaksanakan perbincangan di antara pegawai.

Diharapkan akan dapat persetujuan supaya kita boleh membantu tapi kenalah melalui pinjaman, taklah dapat melalui geran yang diminta oleh kerajaan negeri,” katanya. – Bernama

Author:

2 thoughts on “PETRA bangunkan sistem pengurusan Imbangan Air di 19 lembangan sungai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *