APMM P.Pinang tahan sembilan nelayan warga asing

APMM P.Pinang tahan sembilan nelayan warga asing

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan bersama sembilan warga asing, yang bekerja sebagai nelayan tanpa sebarang dokumen perjalanan, dalam Ops Tiris 3.0 di perairan negeri itu pada Khamis dan Ahad.

Pemangku Pengarahnya Komander Maritim S. Nak Rong berkata pihaknya menahan sebuah bot pada kedudukan 14.2 batu nautika barat Muara Sungai Pinang, 6.10 petang semalam atas pelbagai kesalahan.

“Hasil pemeriksaan terdapat seorang kru tempatan dan empat kru warga Myanmar, yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika.

“Manakala empat lelaki Myanmar itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 1(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nak Rong berkata dalam pemeriksaan pada 29 Feb, APMM Pulau Pinang telah menahan bot nelayan kelas di 8.3 batu nautika barat daya Pulau Kendi dan hasil pemeriksaan terdapat tiga orang kru tempatan, seorang kru warga Thailand dan empat kru warga Myanmar, yang kesemuanya berumur 25 hingga 37 tahun.

Beliau berkata lima kru warga asing itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri dan pas lawatan kerja seperti yang diminta dan mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *