JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 29 warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Bersama di Skudai pada Rabu dan Pengerang, Kota Tinggi semalam.
Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata dalam operasi yang dilakukan di Plaza Tol Skudai arah selatan bermula pukul 6 petang hingga 11.30 malam itu, 14 daripada 73 warga asing yang diperiksa, ditahan atas kesalahan tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan tinggal lebih masa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta satu notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan bagi membantu siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharuddin berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki warga India, dua lelaki dan empat wanita Indonesia, dua lelaki warga Bangladesh serta satu lelaki warga Pakistan berumur antara 23 hingga 50 tahun.
Dalam operasi sama di sekitar Pengerang semalam, JIM Johor menahan 15 warga asing terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh, empat lelaki serta seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India berumur antara 20 hingga 43 tahun.
Beliau berkata operasi yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari itu dijalankan di 15 premis susulan aduan awam berkaitan kemunculan ramai warga asing dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
Menurut Baharuddin, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 15(1) (c) Akta 155 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan, selain tiga notis hadir ke pejabat dikeluarkan.
“Sebanyak 10 premis telah dibuat sitaan oleh Majlis Perbandaran Pengerang atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPP 2021.
“Sebanyak lima notis kompaun turut dikeluarkan kepada premis yang tidak mempamerkan sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan serta gagal mempamerkan papan tanda yang mengandungi nama dan nombor perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya. -Bernama
