YAN: Penduduk Kampung Keda Sungai Udang di sini melahirkan rasa syukur atas penganjuran Jualan Rahmah Bergerak (JRB) di kampung mereka yang membantu menjimatkan perbelanjaan serta memudahkan mereka memperoleh barangan keperluan harian.
Rata-rata orang ramai yang ditemui hari ini mahu JRB diadakan lebih kerap, lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi sejak kebelakangan ini.
Pekerja kilang, Norhayati Sasila Saad, 33, berkata dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai barangan antaranya beras, minyak masak dan tepung gandum pada harga lebih murah di program itu.
“Banyak jugalah barangan yang saya beli, tetapi beras saya beli dua kampit, dijual RM14 bagi lima kilogram (kg), tepung gandum dijual RM2 berbanding RM3.50 dan minyak masak sekampit RM2.50.
“Memang terbukti murah dan berbaloi untuk penjimatan keluarga yang ramai, saya harap inisiatif kerajaan MADANI ini dapat diteruskan dan ditingkatkan bagi membantu rakyat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Warga emas, Khalijah Shafie, 75, pula berkata meskipun dengan kudrat yang terhad, dia tetap datang membeli barangan keperluan di JRB kerana ia jauh lebih murah berbanding di kedai rucit.
“Mak cik gagahkan diri datang bersama jiran-jiran walaupun tak larat, tapi melihat sambutan dan ramai orang datang, mak cik pun tak mau ketinggalan. Mak cik beli beras sebab murah, buat di kawasan kampung ni mudahkan orang ramai datang,” katanya.
Sementara itu pembantu tadika, Shahani Shaffiee, 52, berkata program JRB sangat dinantikan penduduk terutama golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata penduduk juga menyambut baik sekiranya kerajaan mahu memperbanyakkan dan memperluaskan lagi program tersebut agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
“Program ini kena ada selalu, sekurangnya-kurangnya seminggu sekali, jika ini dapat dilakukan saya rasa semua rakyat sangat bersyukur dan cukup berterima kasih kepada kerajaan hari ini yang prihatin,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai berbaris panjang dalam program inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu sejak 8 pagi tadi, walaupun dijadualkan bermula 9 pagi.
Program kali kedua diadakan di lokasi itu berjaya memberi faedah kepada hampir 500 penduduk yang rata-ratanya bekerja sendiri dan nelayan. -Bernama
