Polis kesan lelaki dan wanita bertindak samseng atas Jambatan P.Pinang

Polis kesan lelaki dan wanita bertindak samseng atas Jambatan P.Pinang

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki dan wanita yang bertindak samseng dengan menendang serta memukul penunggang lain, dipercayai berlaku di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini dan tular di media sosial.

Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya ketika ini sedang mengesan penunggang dan pembonceng motosikal itu, yang bertindak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu yang turut tular di media sosial, namun usaha mengesan lelaki dan wanita tersebut giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai lelaki yang menunggang motosikal manakala wanita yang membonceng itu, boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,“ menurut kenyataan itu.

Terdahulu menerusi perkongsian satu klip video berdurasi lebih satu minit di beberapa media sosial mendapati, seorang lelaki dan seorang wanita dilihat menyerang secara sengaja beberapa penunggang motosikal berhampiran mereka.

Selain itu, wanita terbabit yang memegang tali turut melibas penunggang dan kenderaan lain, sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, rata-rata meminta pihak berkuasa untuk menyiasat perkara berkenaan selain mengambil tindakan ke atas pelaku.

Seorang pengguna media sosial Fayar Aykun menulis bulan lepas, beliau pernah terselisih dengan mereka dan perempuan itu bertindak melibas dengan tali bila ada orang lalu depan dia, namun semua orang biar sahaja tak ambil tindakan

Tulisnya lagi namun tindakan tersebut membahayakan pengguna jalan raya, mohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat dan ambil tindakan. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *