GEORGE TOWN: Sebanyak 80,000 biji kelapa disediakan oleh seorang pemborong kelapa di Jalan Dato Keramat di sini, bagi memenuhi keperluan permintaan menjelang sambutan Thaipusam pada 25 Jan ini.
Pemilik Joez Coconut, M. Joel Jayachandran, 38, berkata setakat ini sebanyak 50,000 biji kelapa sudah ditempah oleh pelanggan yang bukan saja datang dari pelbagai negeri tetapi juga dari luar negara termasuk Singapura dan London.
Katanya, semua bekalan kelapa mawar itu diperoleh terus dari ladang di Bagan Datuk, Perak dan menjualnya pada harga RM1.90 sebiji.
“Jika luar musim biasanya tempahan yang kita terima hanyalah 100,000 biji (sebulan) tetapi ketika Thaipusam atau hari raya memang permintaan akan meningkat dan tahun ini untuk Thaipusam sahaja kita bekalkan sebanyak 80,000 biji kelapa dan jumlahnya sama seperti tahun lepas.
“Jika bekalan tidak mencukupi, kita akan ambil dari ladang lain di Perak dan biasanya mereka (pembekal) akan naikkan harga 20 hingga 30 sen tetapi, saya tetap akan jual RM1.90 sen sebiji malah harga ini tidak pernah naik sejak beberapa tahun lepas,“ katanya ketika ditemui Bernama di premisnya, hari ini.
Menurut Joel yang mengambil alih perniagaan bapanya A. Mazivanan, yang diusahakan sejak 2001 itu, kebanyakan pelanggan menempah merupakan pelanggan tetap dan dia sangat mengutamakan kepuasan pelanggan berbanding keuntungan berlipat ganda.
Beliau berkata semua bekalan kelapa dihantar ke premis pada waktu malam bagi mengelakkan buah rosak dan pecah kerana faktor cuaca.
Selepas itu, ia akan melalui proses pengelasan dan hanya buah berkualiti akan dipilih dan dibungkus untuk diedarkan kepada pelanggan dengan setiap bungkus mengandungi 50 biji kelapa.
Joel berkata selain lapan pekerja, dia turut menggajikan pekerja sambilan bagi memastikan urusan menghantar bekalan ke lokasi ditetapkan mengikut jadual pada 23 dan 26 Jan ini.
Thaipusam diraikan penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan Thai iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati Dewa Murugan manakala upacara pecah kelapa semasa Thaipusam pula merupakan amalan pembersihan oleh penganut Hindu dan simbolik menyerah ego seseorang kepada Tuhan. – Bernama
