Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak: Platform cari titik persamaan PH, BN

Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak: Platform cari titik persamaan PH, BN

IPOH: Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak pada 28 Jan ini dijangka menjadi medan penting bagi mencari titik persamaan antara dua gabungan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad (gambar) berkata konvenseyen tersebut akan menjadi platform penting memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang mendukung kerajaan hari ini.

“Konvensyen tersebut juga menjadi medan bagi menyuburkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan selain bersepakat mencipta naratif kerjasama yang lebih jitu bagi menghadapi cabaran-cabaran politik semasa.

“Usaha ini juga merupakan komitmen seluruh barisan kepimpinan untuk merungkai segala perbezaan yang wujud agar dapat bekerja sebagai satu pasukan yang kuat demi meneguhkan kestabilan dan kesejahteraan kepada negeri Perak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir pada konvensyen bertema ‘Madani: Mengangkat Agenda Rakyat Perak’ itu.

Konvensyen tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, dekat sini, dengan dihadiri kira-kira 1,500 peserta dariapada PH dan BN.

Menyentuh mengenai agenda pada konvensyen itu, Saarani berkara berkata antaranya ialah ucapan dasar beliau sebagai Pengerusi BN negeri dan Mujahid dengan memberi tumpuan kepada hala tuju Kerajaan Perpaduan Perak.

Ia, katanya, akan disusuli sesi perbahasan oleh wakil-wakil daripada semua parti yang akan mengupas intipati ucapan dasar bagi membolehkan percambahan idea dalam usaha mengukuhkan agenda bersama.

Katanya, sebanyak dua forum utama iaitu Forum Kerajaan Perpaduan – Perspektif Orang Muda dan Forum Perpaduan Mengangkat Agenda Perak Sejahtera 2030 turut diadakan dengan menampilkan ahli panel daripada semua parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Penyertaan konvensyen ini hanya dibuka kepada pimpinan dan ahli yang ditentukan oleh parti-parti komponen berdasarkan kuota yang telah diputuskan, manakala hanya perwakilan yang mempunyai pas kebenaran sahaja akan dibenarkan memasuki dewan konvensyen,“ katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *