KUALA LUMPUR: Pemanah compound Nur Jannaton Abdul Jalil akan memberi tumpuan mempertajamkan teknik memanahnya dalam usaha memberi tentangan sengit pada penampilan pertama di Sukan Paralimpik Paris yang dijadual pada 28 Ogos hingga 8 Sept depan.
Pemanah berusia 29 tahun itu berkata beliau tekad memperoleh teknik solid dalam usaha menampilkan permainan konsisten pada setiap perlawanan yang disertainya tahun ini.
Katanya setiap hari, tidak kurang daripada enam jam latihan dilalui bagi merealisasikan impiannya beraksi cemerlang dalam temasya berprestij itu.
“Dari segi latihan, minggu depan sudah mula untuk latihan penuh seperti biasa kerana dua minggu terawal ini saya masih jalani latihan ringan selepas berhenti rehat pada hujung tahun lepas.
“Persiapan dari segi mental, fizikal dan peralatan masih banyak perlu dipertingkatkan. Namun pihak jurulatih dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempercepatkan persiapan peralatan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Nur Jannaton berkata beliau akan beraksi pada kejohanan Terbuka Para Hong Kong pada 3 hingga 5 Feb depan selain membuat penampilan kejohanan Ranking Dunia Para Dubai pada Mac sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Paris.
Ditanya tentang pencabar utama pada Sukan Paralimpik Paris nanti, beliau berkata India dijangka memberi persaingan sengit.
“Saya tidak menyasarkan sebarang pingat kerana ini merupakan paralimpik pertama saya. Bagi saya semua lawan adalah sengit. Masing-masing ada skor dan kelebihan sendiri tetapi yang paling sengit adalah dari negara India,” katanya yang kini menduduki ranking ke-35 dalam para dunia.
Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand November lepas, Nur Jannaton berjaya meraih pingat perak dalam acara compound wanita sekali gus menempah slot beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Nur Jannaton juga turut mencipta sejarah menjadi atlet para wanita memanah pertama layak secara merit untuk ke Sukan Paralimpik sejak Malaysia menyertai temasya itu pada 1972.-Bernama
