KUALA TERENGGANU: Sebanyak 29,596 pengguna di Terengganu telah mendaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU) setakat hari ini selepas sistem itu dilancarkan pada 2 Jan lepas.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu Marlini Sahul Hamid berkata bagaimanapun, jumlah itu masih rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya telah merancang pelbagai strategi termasuk membuka kaunter fizikal PADU di lokasi tertentu dengan kerjasama agensi berkaitan.
“Kami akan membuka kaunter fizikal PADU di pejabat Jabatan Perangkaan negeri dan di 66 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) seluruh daerah yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) cawangan Terengganu.
“Pegawai akan ditugaskan memberi khidmat bantuan berkaitan pengemaskinian PADU sekiranya berlaku kesulitan,“ katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Hari PADU Bersama Penjawat Awam Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Selain itu, Marlini berkata pihaknya juga akan membuka kaunter bergerak di lokasi tumpuan orang ramai seperti di pasar raya bagi memastikan lebih ramai individu mendaftar di sistem PADU.
“Kolabarasi bersama pejabat daerah dan tanah akan dilaksanakan selain sesi taklimat pengisian PADU bersama pelajar insititusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti setempat,“ katanya. -Bernama
