SPRM Kedah reman penyelia keselamatan tapak bina terima rasuah RM5,000

SPRM Kedah reman penyelia keselamatan tapak bina terima rasuah RM5,000

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang lagi suspek yang disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM5,000 bagi membatalkan kompaun dikeluarkan sebuah agensi penguatkuasa, dua tahun lepas.

Menurut sumber, lelaki yang merupakan penyelia keselamatan tapak bina berusia 30-an itu ditahan pada kira-kira 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini.

Perintah tahanan reman selama enam hari hingga 14 Jan depan itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas membenarkan permohonan SPRM hari ini.

“Suspek dipercayai bersubahat dengan seorang penolong pegawai tadbir meminta dan menerima wang rasuah bernilai RM5,000 daripada sebuah syarikat pada 2022 sebagai balasan bagi membatalkan kompaun yang dikeluarkan oleh sebuah agensi penguatkuasa terhadap syarikat itu atas kesalahan ketiadaan Perakuan Pematuhan Standard untuk bahan binaan,“ katanya.

Semalam SPRM menahan reman seorang penolong pegawai tadbir berusia 30-an selama enam hari yang disyaki rakan subahat suspek.

Pengarah SPRM Kedah Soock Wee Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *