Lelaki dikhuatiri lemas selepas motosikal terbabas ke parit

Lelaki dikhuatiri lemas selepas motosikal terbabas ke parit

KUANTAN: Seorang pekerja ladang dikhuatiri lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke parit semasa meredah air di ladang kelapa sawit Sungai Bebar Utara, Pekan dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian itu berlaku pada 4.55 petang ketika mangsa Muhammad Adhwa Haslan, 31, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di perumahan ladang berkenaan.

“Rakan mangsa yang berkonvoi bersama mendakwa mereka telah meredah air sedalam 0.33 meter yang melimpah di atas jalan utama ladang apabila motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke parit.

“Rakan mangsa mendakwa seorang pengawal keselamatan yang berada berhampiran lokasi kejadian terjun ke parit untuk menyelamatkannya, namun gagal kerana arus deras,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan petang semalam, namun dihentikan pada malam berikutan faktor cuaca dan disambung pagi ini. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *