JOHOR BAHRU: Terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana terjejas banjir tidak menghalang seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 untuk melakukan yang terbaik bagi peperiksaan itu.
Nor Syahirah Azrin, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, di sini berkata dia tidak patah semangat sebaliknya akan menjadikan situasi itu sebagai satu cabaran buat dirinya dalam melakar masa depan yang lebih baik.
“Memang ada rasa sedih kerana terpaksa hadapi peperiksaan SPM dalam keadaan rumah ditenggelami air, tetapi saya tidak mahu jadikan itu alasan. Saya tetap mahu berusaha dan lakukan yang terbaik.
“Saya tidak akan patah semangat kerana tahun lepas, abang saya juga menduduki SPM sebagai mangsa banjir, jadi boleh dikatakan ini perkara biasa bagi kami,“ katanya kepada pemberita di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini hari ini.
Nor Syahirah berkata air meningkat dengan cepat dalam tempoh 15 minit hingga hampir separuh daripada rumah dua tingkat didiaminya ditenggelami air, kira-kira 6.30 pagi semalam iaitu ketika dia sedang bersiap untuk ke sekolah.
“Selepas mendapati air memasuki rumah, saya tidak jadi untuk ke sekolah sebaliknya terus memastikan barangan dan dokumen penting selamat daripada rosak. Mujurlah buku-buku teks dan nota penting telah diletakkan di tempat selamat terlebih dahulu, cuma baju sekolah rosak,“ katanya.
Seorang lagi calon SPM, Muhd Aidil Haqimi Abu Bakar, 18, berkata dia sudah penat berdepan dengan situasi banjir yang kerap berlaku di kawasan kediaman keluarganya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang.
Bagaimanapun, katanya dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang tentera darat.
“Memang kawasan kampung ini kerap ditenggelami banjir, ada sesetengah kawasan akan ditenggelami air hanya selepas satu atau dua jam jika hujan lebat berterusan. Walaupun saya sudah lali (dengan banjir), tetap rasa sedih apatah lagi akan berdepan SPM,“ katanya.
Ujian Bertutur peperiksaan SPM bagi Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Jan ini, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Jan), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Jan) serta peperiksaan bertulis (30 Jan hingga 7 Mac).
Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor sebanyak 1,448 orang di 13 PPS di Kota Tinggi, Johor Bahru, Mersing dan Kluang. -Bernama
