Tambah baik jalan Orang Asli di Kelantan dijangka siap tiga tahun lagi

Tambah baik jalan Orang Asli di Kelantan dijangka siap tiga tahun lagi

GUA MUSANG: Jalan perhubungan bersepadu yang melibatkan 56 kampung masyarakat Orang Asli di Kelantan akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang (gambar).

Beliau berkata pembinaan jalan berkenaan yang bermula tahun ini di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis akan turut dapat diakses oleh semua masyarakat Orang Asli termasuk penempatan paling jauh iaitu di Pos Gob.

“Bagi projek baharu ini, proses tender telah selesai dan kita menunggu untuk penyerahan tapak.

“Secara tidak langsung, projek ini akan meningkatkan kemudahan, selain memperlihatkan tambah baik jalan yang sedia ada di kawasan ini,“ katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi penghantaran bekalan makanan ke kawasan perkampungan Orang Asli dekat Kampung Jader, Pos Simpor di sini hari ini.

Beliau berharap projek jalan perhubungan bersepadu ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan sepanjang proses pelaksanaan dan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Kita memerlukan kerjasama daripada pihak pelaksana, kontraktor dan masyarakat Orang Asli sendiri dalam memastikan apa-apa sahaja isu atau masalah yang timbul sepanjang pelaksanaan jalan berkenaan dapat diselesaikan dengan baik,“ katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk projek menambah baik jalan di beberapa kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Projek tambah baik jalan berkenaan melibatkan kawasan Kuala Betis – Pos Balar dan Pos Belatim – Kuala Betis – Pos Bihai, masing-masing di Gua Musang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Rubiah berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan berkenaan keadaan jalan perhubungan masyarakat Orang Asli yang terjejas disebabkan banjir minggu lepas untuk tindakan selanjutnya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *