KANGAR: Penggunaan telefon pintar yang berleluasa tanpa sebarang batasan adalah salah satu faktor yang menyebabkan jenayah seksual terus meningkat, kata Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.
Beliau berkata di Perlis, 215 kes jenayah seksual dikendalikan polis dalam tempoh 2019 hingga tahun lepas, melibatkan kes jenayah rogol (110), tindakan seksual terhadap kanak-kanak (73 kes), kes sumbang mahram (17 kes) manakala kes liwat (15 kes).
Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Jenayah Seksual di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di sini hari ini berkata kempen kesedaran itu adalah antara usaha polis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis untuk mendedahkan tentang bahana jenayah seksual kepada orang ramai, terutama para pelajar.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan JPN akan terus meneruskan penganjuran jerayawara di setiap sekolah sama ada sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah agama, mahupun IPT di seluruh Perlis sehingga jenayah ini dapat dikawal sekali gus dapat dibanteras sehingga sifar kes,” katanya.–Bernama
