KUALA LUMPUR: Bandar Taichung di Taiwan bersedia mempromosikan limau ponkan atau limau mandarin terkenalnya di Malaysia ketika industri itu pulih daripada cabaran pandemik COVID-19.
Ketua Bahagian Pemasaran dan Pemprosesan, Biro Pertanian Kerajaan Bandar Taichung Liao Shi-Wei berkata limau ponkan Taichung kini boleh didapati di pelbagai premis di seluruh negara termasuk AEON, kedai buah MBG, Whole Foods Express dan Star Grocer.
Beliau berkata iklim tanah tinggi, air bersih dan cuaca yang baik di Taichung tahun ini membawa kepada hasil yang baik dan pengeksportan limau ponkan.
“Buah dari (daerah) Shingang terkenal dengan warna yang cantik, isinya yang pejal dan manis serta berjus membuatkannya antara yang paling dicari. Isinya merupakan keseimbangan antara kemanisan dengan kemasaman yang sempurna, dan pembungkusannya pernah dianugerahkan Global GAP (Amalan Pertanian Baik) dan pensijilan ISO 22000.
“Limau ponkan ini menjadi pilihan yang sangat baik bagi hadiah berkualiti semasa musim perayaan ini,“ katanya kepada pemberita semasa taklimat media mengenai Ponkan Taichung di Malaysia 2023 di sini hari ini.
Liao berkata perjumpaan bersama media di Malaysia ini merupakan pemasaran produk pertanian kerajaan Bandar Taichung di luar negara buat julung kalinya tahun ini dan yang pertama sejak pandemik COVID-19 melanda tiga tahun lepas.
Beliau berkata pengguna hanya perlu mencari tanda kualiti daripada Biro Pertanian Kerajaan Bandar Taichung untuk memastikan mereka mendapat limau ponkan Taichung yang paling selamat dan lazat.
Menerusi kerjasama dengan bakeri Malaysia RT Pastri, beliau berkata tiga produk yang diperbuat daripada limau ponkan Taichung akan diperkenalkan bulan depan iaitu kek keju, kek paun dan kastard.–Bernama
