The Light Hotel Penang rai anak yatim sempena Krismas

The Light Hotel Penang rai anak yatim sempena Krismas

BUTTERWORTH: Kehadiran 22 anak yatim sebagai tetamu istimewa The Light Hotel Penang di sini memeriahkan lagi sambutan Krismas anjuran hotel berkenaan hari ini.

Pengurusnya Mohd Hamidi Haron berkata acara itu sudah menjadi tradisi sama seperti sambutan perayaan utama lain dan adalah antara tanggungjawab sosial korporat hotel berkenaan dalam berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Beliau berkata kanak-kanak terbabit merupakan penghuni tiga rumah kebajikan sekitar Seberang Perai yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

“Program sebegini merupakan peluang terbaik untuk kita bersama mereka berkongsi kegembiraan tanpa mengira apa juga perayaan kerana kita tinggal dalam sebuah negara berbilang kaum dan bersatu sebagai rakyat Malaysia.

“Sebagai tanda kasih sayang, kita turut menunaikan hajat mereka menerusi pemberian hadiah berupa peralatan persekolahan seperti pakaian, beg, kasut dan alat tulis,“ katanya kepada Bernama.

Mohd Hamidi turut menyifatkan sambutan Krismas kali ini antara paling meriah dan program yang bermula pada 12 tengah hari di lobi hotel itu diserikan lagi dengan persembahan Persatuan Okestra Inklusion Pulau Pinang disusuli nyanyian lagu krismas oleh kumpulan sama.

Selain itu, kehadiran santa dan santarina yang mengagihkan gula-gula menceriakan lagi suasana.–Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *