KUALA LUMPUR: Tahun 2023 menyaksikan usaha gigih kerajaan melindungi harta, hak dan kedaulatan negara melakar kejayaan bersejarah di mahkamah antarabangsa dalam tindakan undang-undang terhadap Malaysia yang dibawa oleh sekumpulan individu yoleh mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Kerajaan Perpaduan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara agresif menentang tuntutan lapan individu itu dan memperoleh kemenangan dalam pertikaian tersebut selepas Mahkamah Luxembourg, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis serta Mahkamah Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan telah memberi jaminan akan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir kerana Malaysia tidak akan berkompromi dengan ancaman.
Beliau berkata tuntutan itu adalah satu ‘serangan yang sofistikated’ dan kerajaan bertekad untuk melancarkan ‘satu gerakan yang agresif untuk menoktahkannya.’
Pada 25 Mei 2020, seorang penimbang tara Sepanyol yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gonzalo Stampa telah menganugerahkan award akhir US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan Sulu itu.
Dalam usaha menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit telah dilapor cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.
Begitupun, perjuangan negara belum berakhir kerana Malaysia telah menggunakan semua remedi perundangan bagi membatalkan award yang diberikan oleh Stampa kepada kumpulan Sulu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Pada 24 Jan, kerajaan Malaysia telah meraih kemenangan di Mahkamah Luxembourg yang mengetepikan perintah yang dimohon oleh kumpulan Sulu. Malaysia kemudian memohon untuk mengetepikan perintah bertarikh 11 Julai 2022 itu.
Pada 2 Feb pula2, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol telah mengekalkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian itu selepas menolak rayuan yang difailkan oleh kumpulan Sulu.
Pada 16 Mac, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.
Justeru, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berkaitan penguatkuasaan award itu telah dikekalkan.
Malaysia sekali lagi melakar kemenangan bersejarah apabila Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun telah mengekalkan keputusan yang memihak kepada negara berhubung award separa dan memperoleh satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan the Hague pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf serta menguatkuasakan award akhir di negara itu.
Malaysia mencipta satu lagi sejarah selepas mahkamah Perancis pada 6 Nov membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik kerajaan Malaysia di Paris oleh kumpulan Sulu.
Mahkamah Perancis turut merekodkan tindakan menarik balik tuntutan untuk merampas aset itu (bangunan diplomatik Malaysia) oleh kumpulan Sulu dan keputusan mahkamah pada 6 serta 9 Nov telah menoktahkan usaha kumpulan Sulu untuk menyita aset yang dikaitkan dengan Malaysia di seluruh negara.
Pada 6 Nov 2023, hakim penguatkuasaan award di Paris telah membatalkan perintah ex-parte yang dikeluarkannya sebelum ini yang membenarkan gadai janji berkanun didaftarkan di tiga bangunan diplomatik milik Malaysia di Paris.
Malaysia telah mencapai kejayaan baharu dalam kes itu apabila berjaya mengheret Stampa ke Mahkamah Jenayah Madrid pada 11 Dis atas dakwaan menghina mahkamah dan berulang kali mengingkari perintah mahkamah yang membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.
Azalina berkata Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia telah menuduh Stampa melakukan jenayah menghina mahkamah yang serius serta melakukan amalan profesional tanpa kelayakan.
“Keputusan (akan datang) juga akan menjadi jaminan kepada kita untuk menoktahkan sebarang tuntutan di mana-mana negara (lain) yang mungkin timbul selepas ini.
“Kedua, saya berharap, jika boleh, beliau (Stampa) akan dipenjara dan bukan hanya didenda kerana bersikap kurang ajar terhadap Malaysia,” katanya sambil menambah mahkamah telah menangguhkan keputusan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Pada 2019, kumpulan Sulu dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Tahun 2023 turut menyaksikan Kerajaan Perpaduan melakar sejarah apabila menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) pada 12 Sept, yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan menggunakan budi bicara untuk menyemak semula kes membabitkan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat.
Ini susulan pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun ini.
Di bawah undang-undang baharu ini, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.
Antara yang menjadi tumpuan ialah kes bekas anggota polis berusia 57 tahun iaitu Mohd Ya’cob Demyati yang disabitkan dengan kesalahan membunuh penyanyi kumpulan Spoon, Sabi’ul Malik Shafiee yang juga dikenali sebagai Along Spoon.
Mahkamah Persekutuan telah meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap Mohd Ya’çob kepada pemenjaraan selama 33 tahun di bawah akta itu dan dia telah dibebaskan pada hari pendengaran iaitu 16 Nov selepas mengambil kira satu pertiga pengampunan yang diberikan kerana berkelakuan baik.
Pada 14 Nov, Mahkamah Persekutuan turut meminda hukuman mati dan penjara sepanjang hayat 11 individu yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.
Tujuh banduan akhir termasuk dua warga Thailand menarik nafas lega apabila hukuman mati mereka diganti dengan pemenjaraan selama 30 tahun manakala hukuman penjara sepanjang hayat empat lagi digantikan dengan pemenjaraan selama 30 tahun.
Pada 26 Nov, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bekas Cif Inspektor Azilah Hadri, adalah antara kumpulan 900 banduan terawal yang memohon semakan di bawah akta itu dan kesnya belum didengar oleh Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini pada 8 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan semula Azilah, yang merupakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya bagi kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata bekas komando polis Sirul Azhar Umar tidak mengemukakan permohonan untuk menyemak semula hukuman mati terhadapnya berhubung kes Altantuya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Sirul Azhar telah dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia pada 11 Nov selepas sembilan tahun berada dalam tahanan Jabatan Imigresen Australia.
Pembebasan Sirul Azhar adalah susulan perintah Mahkamah Tinggi Australia pada 8 Nov yang memutuskan tahanan bukan warganegara yang tidak boleh dihantar pulang ke negara asal tidak boleh lagi ditahan bagi tempoh yang tidak pasti oleh pihak berkuasa Imigresen.–Bernama
